ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk menjinakkan The Red Warriors (TRW) 2-0 pada aksi pembukaan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Sepakan penalti Bergson Da Silva pada babak pertama dan jaringan Safawi Rasid di separuh masa kedua memastikan Harimau Selatan mengutip tiga mata dalam perlawanan pertama Kumpulan D.
Pasukan tuan rumah tidak memberi ruang kepada Kelantan FC untuk bernafas apabila berterusan mengasak kubu lawan bagi memburu gol pembukaan.
Serangan demi serangan skuad Harimau Selatan memaksa pertahanan melakukan kesilapan setelah Ghaffar Abdul Rahman melakukan terjahan keras terhadap Arif Aiman Mohd. Hanapi memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti.
Peluang itu tidak disia-siakan penyerang sensasi JDT, Bergson yang mudah memperdayakan penjaga gol, Farizal Harun yang melayangkan badan ke arah berlawanan bagi meletakkan pasukan di hadapan pada minit ke-30.
Pada minit ke-35, Shane Lowry hampir menambah jaringan buat JDT namun tandukan rendah yang mencari penjuru gawang sedikit tersasar.
Pada akhir babak pertama, Bergson hampir menambah gol peribadinya dalam saingan Piala Malaysia namun rembatan jarak jauhnya menewaskan Farizal tetapi sekadar menggegar palang gol.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Benjamin Mora tidak menunggu lama untuk menambah jaringan menerusi jaringan Safawi yang mendapat umpanan cantik Danial Amier Norhisham pada minit ke-49.
Setelah melihat pasukan lawan tidak mampu mengundang bahaya ke arah kubu gol, Mora mengambil keputusan untuk merehatkan pemain utama lebih awal seperti Bergson, Safawi dan Danial dengan membawa masuk Gonzalo Cabrera, Ahmad Hazwan Bakri dan Safiq Rahim.
Cabrera hampir menambah derita TRW, namun kecekapan Farizal menidakkan percubaan pemain import itu.
Serangan demi serangan yang direncana Afiq Fazail dan Safiq dari bahagian tengah gagal menemukan sentuhan penyudah dan tidak ada lagi tambahan jaringan direkodkan.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Petaling Jaya City (PJ City) diikat 1-1 oleh Sabah FC.