LONDON: Mikel Arteta mengakui, pertemuan menentang Norwich pada aksi Liga Perdana Inggeris hari ini adalah perlawanan ‘wajib menang’ selepas Arsenal mengharungi permulaan musim terburuk dalam sejarah 67 tahun.
Gunners gagal meledak gol dalam tiga perlawanan terakhir, sebaliknya melepaskan sembilan gol ketika tewas 0-2 kepada Brentford, 0-2 di tangan Chelsea dan dibelasah 5-0 oleh Manchester City.
Kedudukan Arteta sebagai pengurus juga dalam bahaya, di mana pengendali dari Sepanyol itu diberikan empat lagi perlawanan liga untuk menyelamatkan jawatannya.
“Kami tahu bagaimana sukarnya permulaan musim, dengan beberapa isu kecederaan dan Covid-19, ia perlawanan yang amat sukar buat kami.
“Kami kena bermula semula sekarang. Harap semua orang bersedia untuk kembali ke landasan dan memburu kemenangan.
“Ia sentiasa (perlawanan wajib menang) buat Arsenal. Ada tekanan di situ, sangat tinggi terutama melihat kedudukan kami dalam liga (tercorot),” kata Arteta dalam sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Norwich.
Dalam pada itu, Arteta juga berang dengan sikap anti-vaksin sesetengah pemainnya, terutama selepas Granit Xhaka disahkan positif Covid-19.
Xhaka, 28, terpaksa dikuarantin di Switzerland selepas dijangkit virus berkenaan ketika tugasan antarabangsa minggu lalu.
“Pemain-pemain akan terhalang dalam beberapa aspek sekiranya mereka tidak mendapatkan vaksin kerana kami tidak mahu terdedah kepada virus itu.
“Sebahagian pemain tidak mahu divaksin kerana mungkin ia berkaitan masalah kesihatan, mungkin bertentangan dengan kepercayaannya atau cara mereka dididik.
“Tetapi kami mahukan yang terbaik untuk kelab dengan cuba mengurangkan risiko pemain dijangkiti virus berkenaan dan menyebarkannya kepada orang lain,” katanya.
Arsenal menerima tamparan hebat dengan Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette, Ben White, Willian dan Alex Runarsson terlepas perlawanan pada awal musim ini akibat positif Covid-19. – AGENSI
==