Guardiola tak akan minta maaf - Utusan Malaysia

Guardiola tak akan minta maaf

PEP GUARDIOLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pep Guardiola tidak akan meminta maaf atas kenyataan yang disifatkan telah ‘mengguris hati penyokong Manchester City’ ketika pasukan itu melakar kemenangan 6-3 ke atas RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara, Khamis lalu.

Selepas perlawanan tersebut, Guardiola berkata, pemainnya kepenatan dan dia mahu ‘lebih ramai’ penyokong hadir ke Stadium Etihad ketika skuad The Citizens menerima kunjungan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.

Pada pertemuan dengan Leipzig, hanya 38,062 orang hadir di Etihad sedangkan stadium boleh menampung sehingga 54,000 penonton.

Setiausaha kelab penyokong Manchester City yang mewakili suara peminat The Citizens, Kevin Parker meminta Guardiola agar berhati-hati dalam memberikan komen.

Katanya, kekecewaan yang diluahkan oleh Guardiola mengenai kehadiran peminat di stadium boleh mengguris hati mereka.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, dia amat kecewa melibat banyak tempat duduk kosong di Etihad ketika menentang RB Leipzig.

“Saya ingin lebih banyak orang datang dalam perlawanan sete­rusnya pada Sabtu (semalam).

“Kami memerlukan kehadiran penyokong kerana kami sudah keletihan, hanya mereka mampu menaikkan semangat pasukan,” katanya.

Parker mahu Guardiola me­numpukan perhatian kepada latihan serta permainan berbanding mengeluarkan komen yang mengundang kemarahan peminat.

Dia juga menuntut jurulatih berusia 51 tahun itu memohon maaf atas kata-katanya yang dianggap tidak sensitif.

SUASANA di Stadium Etihad, Manchster yang menimbulkan kekecewaan Guardiola ketika menentang RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara.

“Adakah saya telah membuatkan mereka (penyokong) kecewa hanya kerana mahu lebih ramai peminat datang ke stadium?

“Tafsiran orang kekal sebagai tafsiran mereka. Saya tidak akan meminta maaf atas apa yang saya katakan.

“Saya lebih kepada terkejut dengan apa yang berlaku kepada ‘dia’ (Parker).

“Ini bukan kali pertama saya bercakap tentang perkara ini (kehadiran penonton).

“Saya bercakap perkara yang sama ketika melatih Barcelona dan Bayern Munich,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya