PETALING JAYA: Bukan sahaja bijak di atas padang, malah penyerang hoki sensasi negara, Faizal Saari turut bijak berniaga dalam usaha meraih sumber pendapatan sampingan pada musim pandemik Covid-19.
Bintang Terengganu Hockey Team (THT) itu berkata, dia telah memulakan perniagaan menjual sosej halal yang diimport dari Thailand sejak empat bulan lalu.
Katanya, perniagaan tersebut bermula secara bersahaja apabila emaknya, Asiah Abdullah mencadangkan Faizal untuk menceburi bidang itu di Kuala Lumpur.
“Tak plan (rancang) pun sebenarnya (mahu berniaga), selepas pulang dari kampung (Terengganu), mak saya cakap ‘berniagalah jual sosej ni, kat Kuala Lumpur ramai yang nak’.
“Selepas itu saya terus beli peti sejuk beku dan sebagainya, terus tempah stok. Saya mula dengan menjual secara atas talian.
“Saya tempah dalam 1,500 dalam masa lima-enam hari dah habis. Kira lajulah juga,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Selain mempromosi jualan di media sosial, Faizal turut menjual sosej di platform atas talian terkenal Shopee dengan nama ‘SausageThaiHalal’ dan secara ‘car booth’ di sekitar Sungai Besi, Bandar Tasik Permaisuri dan Puncak Jalil ketika mempunyai masa terluang.
Mengulas lanjut, Faizal turut mengakui dirinya tidak kekok untuk berniaga kerana sejak kecil menimba pengalaman dengan membantu emaknya berniaga di pasar.
“Masa darjah empat sampai enam, asal cuti sekolah saja, saya akan ikut mak ke pasar berniaga. Mak niaga macam-macam, kuih ada, barangan plastik dan buah,” ujarnya.
Hujung minggu lalu, Faizal menerima kejutan semasa menjual secara ‘live’ apabila legenda sukan negara Datuk Lee Chong Wei, atlet para Ridzuan Puzi dan kakak iparnya, Syaidatul Afifah Badrul
Hamidi, yang juga bekas pemain boling negara turut sama-sama mempromosikan jualannya.