TOKYO: Selepas berdepan dugaan besar, termasuk mengalami dua jangkitan kuman menyebabkan kakinya dipotong, Allysa Seely membuat keputusan tepat untuk tetap bertanding di Sukan Paralimpik Tokyo yang menyaksikan dia meraih pingat emas.
Kaki Seely dipotong di paras lutut tahun lalu membuatkan dia terpaksa melupakan latihan selama beberapa bulan kerana dimasukkan ke hospital.
“Saya merayu kepada doktor untuk membuka jahitan lebih awal agar saya boleh menyertai aksi kelayakan. Saya tidak memakai kaki palsu untuk tempoh dua bulan setengah.
“Tidak boleh berlari, berbasikal dan hanya berenang sedikit kerana tidak dibenarkan berada dalam kolam dengan kaki berjahit. Keadaan sangat terhad kerana saya berenang dengan satu kaki,” katanya.
Seely layak ke Sukan Paralimpik Tokyo walaupun hanya dibenarkan menjalankan latihan pada Mac, namun dia berdepan cabaran baharu kerana dia disahkan menghidap endocarditis, jangkitan kuman yang menyebabkan darah beku di jantung.
Dia seperti atlet lain, bergelut untuk membuat keputusan dan merancang latihan kerana temasya itu ditangguh selain ancaman Covid-19.
Mereka bergelut untuk menyeimbangkan rasa bahaya dan dalam masa sama mahu memenuhi impian.
Seely, 32, akhirnya mengambil keputusan untuk beraksi di Tokyo selepas menyaksikan keadaan agak baik di Sukan Olimpik dan peserta kerap diuji untuk mengesan Covid.
Pada minggu kedua temasya, dia akhirnya berjaya mempertahankan pingat emas acara triatlon wanita kelas PTS2.
“Saya sangat gembira. Berada di sini sudah menggembirakan, apatah lagi meraih emas,” katanya penuh emosi. – AGENSI