PETALING JAYA: Tiada yang mustahil buat Ridzuan Puzi untuk meraih pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 biarpun mempertahankan emas yang diraih di Rio 2016 dilihat sukar.
Jika prestasi dalam Kejohanan Para Dunia di Dubai dua tahun lalu dijadikan ukuran, Ridzuan meraih gangsa 100m lelaki T36 (cerebral palsy), manakala emas dan perak milik pelari Australia, James Turner serta Yang Yifei dari China.
Kedua-dua pelari ini bakal menjadi pencabar Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dikwan bagi mempertahankan emas Paralimpik yang dimenanginya lima tahun lalu.
Dikwan akan turun hari ini dalam saringan kedua bagi meraih slot lapan pelari terbaik untuk layak ke final esok.
Daripada 16 peserta, pelari kelahiran Perlis itu berada di kedudukan ketiga bagi catatan masa peribadi terbaik iaitu 11.87 saat. Turner memegang rekod dunia dengan 11.72s dan Yifei (11.79s).
Jurulatih olahraga negara, R. Jeganathan tetap optimis untuk memastikan Dikwan membawa pulang sekurang-kurangnya dengan satu pingat.
“Kami berusaha mengulangi pencapaian di Rio 2016. Untuk Dikwan mempertahankan emas mungkin susah sikit sebab perlu diingat dia sudah berusia 34 tahun dan perlu berlawan dengan pemegang rekod dunia dari Australia.
“Dik Wan antara atlet paling senior kali ini dan pencabar utamanya lebih muda seperti Turner dan Yifei.
“Begitupun saya yakin dia tidak akan pulang kosong dan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat,” katanya.