LONDON: Cristiano Ronaldo meledak gol keempat dalam tiga perlawanan berturut-turut buat Manchester United, namun Jesse Lingard dan David de Gea muncul wira Red Devils ketika menewaskan West Ham 2-1 dalam aksi dramatik Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Perlawanan seakan berakhir dengan seri selepas West Ham dihadiahkan sepakan penalti pada waktu kecederaan apabila bola tendangan Andriy Yarmolenko terkena tangan Luke Shaw.
Bagaimanapun, De Gea muncul wira dengan menepis sepakan yang diambil oleh Mark Noble.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 kekal ketika permainan tinggal seminit untuk ditamatkan, namun pemain gantian, Lingard meledak gol kedua United untuk Red Devils mendahului 2-1.
Tuan rumah terlebih dulu berada di depan hasil rembatan Said Benrahma pada minit ke-30 yang terkena pertahanan United sebelum mengelirukan De Gea.
Ronaldo, 36, sekali lagi mempamer aksi cemerlang apabila meledak gol penyamaan pelawat lima minit berselang selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid dan menolak hantaran lintang Bruno Fernandes.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan cuba untuk menambah jaringan tetapi tidak berhasil sehinggalah Lingard yang dibawa masuk menggantikan Paul Pogba melakukan rembatan lencong pada minit ke-89 untuk memastikan tiga mata berharga dibawa pulang dari London.
Red Devils kini berkongsi 13 mata bersama Liverpool, namun menduduki tangga kedua menerusi perbezaan jaringan.
Dalam satu lagi perlawanan tumpuan, Leicester City tumpas 1-2 kepada Brighton di tempat lawan.
Brighton berada di depan hasil sepakan penalti Neal Maupay pada minit ke-35, sebelum Danny Welbeck menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-50.
Penyerang Leicester, Jamie Vardy merapatkan jurang pada minit ke-61 dan kedudukan kekal dengan tuan rumah memperoleh tiga mata di Stadium Falmer.
Everton pula mengalami kekalahan pertamanya musim ini selepas tumpas 0-3 kepada Aston Villa. – AGENSI