TURIN: Turun dengan misi bangkit daripada kekalahan pada saingan domestik, Thomas Tuchel kecewa apabila Chelsea gagal menunjukkan mentaliti yang betul selepas juara bertahan itu tumpas 0-1 kepada Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Gol tunggal Federico Chiesa pada minit ke-46 memberi kekalahan kedua berturut-turut buat Blues yang sebelum itu tewas 0-1 kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Kata Tuchel, dia mengharapkan pemainnya dahagakan kemenangan dan turun lebih bersemangat selepas kekalahan kepada City, namun apa yang berlaku dalam perlawanan tidak sama seperti yang ditunjukkan pada sesi latihan.
“Kami mengharungi sesi latihan yang sangat baik semalam. Kami amat tajam, tampak segar serta dahagakan kemenangan, sedia untuk bangkit.
“Malam ini saya lihat semuanya tidak sama. Mental kami tidak seperti ketika latihan dan saya tidak tahu mengapa. Kami melakukan kesilapan besar yang membawa padah.
“Sangat sukar untuk menemui rentak bila berdepan pasukan yang bermain secara bertahan,” kata Tuchel. – AGENSI