MONZA: Boss Mercedes, Toto Wolff memberi isyarat mahu Valtteri Bottas memberi laluan kepada Lewis Hamilton dalam Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Itali hari ini.
Ia susulan juara dunia tujuh kali itu ketinggalan 0.096 saat di belakang Bottas dalam pecutan grid di Litar Monza kelmarin.
Wolff selalu mengingatkan kedua-dua pelumbanya agar bersaing secara positif, namun perebutan gelaran dunia kali ini sangat mencabar terutama buat Hamilton.
Dalam kedudukan keseluruhan setakat ini, pelumba Britain itu ketinggalan tiga mata di belakang pemandu Red Bull, Max Verstappen yang menduduki tempat ketiga dalam pecutan grid.
“Semua orang pasti tidak bersetuju dengan perkara ini, kerana selaku pelumba, ia sesuatu yang jijik terutama jika seseorang pelumba seperti Valtteri yang berjaya membuktikan kemampuannya.
“Kami perlu lihat perlumbaan nanti dalam selekoh kedua terawal. Jika kedudukan Valtteri sama, kami akan menyuruhnya (memberi laluan kepada Hamilton),” kata Wolff.
Dalam sesi kelayakan pertama dan kedua, Hamilton dilihat paling pantas sebelum Bottas membuat kejutan dengan mengatasinya.
Ini bukan kali pertama Bottas, 32, terpaksa memberi laluan kepada Hamilton yang dilihat berkedudukan lebih baik untuk mencabar kejuaraan berbanding dirinya.
Situasi terbaharu ini menjelaskan betapa tindakan pemandu Finland itu untuk berhijrah ke pasukan Alfa Romeo musim depan adalah tepat. – AGENSI