BARCELONA: Ronald Koeman mengakui, Barcelona tidak lagi segah dulu dan tidak berada pada prestasi seperti diharapkan peminat.
Kedudukan jurulatih dari Belanda itu juga semakin rapuh apabila Barca keciciran mata sekali lagi di tempat sendiri selepas seri 1-1 dengan kelab kerdil, Granada dalam aksi La Liga semalam.
Keputusan mengecewakan tersebut hadir empat hari selepas mereka dibenam 3-0 oleh Bayern Munich di Camp Nou dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Gergasi Catalan tersebut nyaris mengalami kekalahan selepas ketinggalan 0-1 menerusi gol awal Domingos Duarte pada minit kedua ketika permainan menunggu masa untuk tamat.
Begitupun gol penyamaan pemain pertahanan, Ronald Araujo pada minit ke-90 menyelamatkan mereka daripada dimalukan.
“Lihat senarai (pemain) pasukan kami.
“Kami sudah lakukan segala yang terdaya. Kami tidak ada lagi pemain-pemain terbaik dari zaman gemilang tiki-taka. Kami kena bermain dengan gaya baharu.
“Saya fikir, kami bermain baik cuma memerlukan lebih masa (menyesuaikan diri).
“Pada babak pertama kami menggunakan sistem 4-3-3, kemudian saya melakukan perubahan dengan apa yang ada di bangku simpanan.
“Ia bukan lagi Barcelona lapan tahun lalu, itu hakikatnya. Kehadiran Ansu (Fati) dan (Ousmane) Dembele menjadikan corak permainan kami berbeza,” kata Koeman.
Koeman juga tidak gembira dengan taktik pelawat yang suka membuang masa selepas berkubu di kawasan sendiri.
“Anda tidak boleh gembira dengan keputusan seri menentang Granada. Kami berjuang, bermain baik tetapi sejak minit kedua mereka cuba membuang masa,” kata Koeman. – AGENSI