MADRID: Carlo Ancelotti ‘sedih’ melihat juara Eropah 13 kali, Real Madrid mengalami kejutan terbesar dalam Liga Juara-Juara selepas dimalukan 2-1 oleh kelab kerdil Moldova, Sheriff Tiraspol awal pagi tadi.
Real menguasai permainan tetapi terpaksa memerlukan sepakan penalti Karim Benzema untuk menyamakan kedudukan selepas pendatang baharu liga, Sheriff mengejutkan mereka dengan gol pembukaan Jasurbek Yakhshiboev pada minit ke-25.
Skuad Los Blancos melancarkan 30 percubaan berbanding hanya empat yang dilakukan pasukan pelawat, selain menguasai 67 peratus perlawanan.
Sebastien Thill melengkapkan kemenangan sensasi Sheriff seminit sebelum tamat perlawanan, sekali gus melakar kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan.
“Saya agak sedih kerana saya fikir kami berhak menang.
“Anda boleh kata, kami bernasib buruk. Kami kalah dalam perlawanan kerana perkara-perkara kecil, mereka (Sheriff) memperoleh gol menerusi serangan balas atau balingan bola.
“Kami mencipta banyak percubaan tetapi kadangkala tuah menyebabkan anda bernasib malang,” kata pengendali Real, Ancelotti.
Pemain tengah Real, Casemiro berkata, semua tampak tidak kena buat Real, termasuk percubaan-percubaan yang dinafikan penjaga gol lawan dan tersasar.
“Kami mengawal penuh permainan, cipta banyak peluang tetapi mereka yang mendapat gol. Semua tidak kena buat kami,” katanya. – AGENSI