SEPANG: Sudah tiba masanya untuk melaksanakan pindaan kepada Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 bagi mengambil kira dan merapatkan jurang sedia ada berdasarkan peredaran pesat yang dikecapi negara ketika ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pindaan tersebut perlu dalam usaha memberi lebih kemudahan dan akses kepada golongan OKU, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.
“Buat permulaan, saya mohon kepada semua pihak, sama ada agensi kerajaan atau swasta menyediakan perkhidmatan penting seperti bantuan kebajikan, perbankan, makanan dan peruncitan.
“Ia bagi memastikan perkhidmatan mereka, terutamanya di atas talian benar-benar dapat diakses secara menyeluruh dengan menitik beratkan kemudahan digital bagi golongan OKU untuk menjalani urusan harian.
“Begitu juga dengan peluang pekerjaan, di mana dasar satu peratus pengambilan pekerja golongan OKU di sektor awam dapat direalisasi sepenuhnya,” kata Faizal.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir menyambut kepulangan kelompok terakhir kontinjen negara dari Sukan Paralimpik 2020 Tokyo 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Malaysia melakar sejarah paling cemerlang sepanjang menyertai temasya tersebut sejak 1972 di Heidelberg, Jerman Barat apabila membawa pulang tiga emas dan dua perak pada edisi kali ini.
Tambah Faizal, beliau juga berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meningkatkan jumlah peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya.
“Saya yakin sektor swasta akan mencontohinya juga apabila sektor awam dapat memenuhi dasar pengambilan pekerjaan dalam kalangan OKU.
“Inilah masanya untuk sektor swasta memainkan peranan dalam mereliasasikan rasa cinta kepada negara,” ujarnya.