Aizat pastikan Perak tak 'berputih mata' - Utusan Malaysia

Aizat pastikan Perak tak ‘berputih mata’

AIZAT Safuan Razali meledak gol penyamaan Perak ketika mengikat Kuching City 2-2 dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.- IHSAN PERAK FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaringan Aizat Safuan Razali 20 minit sebelum tamat permainan menyelamatkan Perak daripada mengalami kekalahan apabila mengikat Kuching City 2-2 dalam perlawanan kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang sebentar tadi.

Biarpun beraksi di atas permukaan padang licin akibat hujan, kedua-dua pasukan menunjukkan permainan agresif dan saling menyerang sejak awal perlawanan.

Kuching membuka jaringan seawal minit ke-10 berpunca daripada sepakan bebas ketua pasukan, Adam Shreen Tambi yang disudahkan Hudson Dias, menewaskan penjaga gol, Azri Ab Ghani.

Tidak lama selepas meledak gol pembukaan, Dias terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-21 dan diganti oleh Zainuddin Bohri.

Perak yang tumpas 0-1 kepada Selangor dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Ahad lalu menggandakan asakan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Gagal mendapatkan jaringan pada babak pertama, Bos Gaurus bermula garang sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung dan tindakan pertahanan lawan, Aylton Alemao menjatuhkan Nana Poku dalam kotak penalti membawa padah buat Kuching City.

Pengadil, Usaid Jamal menghadiahkan sepakan penalti yang mudah berjaya disempurnakan pemain gantian, Adib Abdul Ra’op pada minit ke-49 untuk kedudukan 1-1.

Jaringan itu tidak melunturkan semangat The Cats yang kembali di depan pada minit ke-67 hasil sepakan bebas Alif Hassan dari jarak 25 meter.

Perak bagaimanapun memastikan satu mata berjaya dibawa pulang apabila menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-70 selepas Aizat merembat bola umpanan Adib, menewaskan penjaga gol, Iqbal Suhimi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya