PETALING JAYA: Ziyad Zolkefli menggegar Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila mempertahankan pingat emas lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) bersama rekod baharu dunia sebentar tadi.
Lebih menarik, Ziyad turut berjaya mengatasi catatan rekod kebangsaan atlet normal, 17.58m yang dilakukan Adi Alifuddin Hussin pada Sukan SEA 2011.
Lontaran ketiganya, 17.94m membolehkan atlet kelahiran Selangor itu memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.
Terdahulu, atlet berusia 31 tahun itu mula mempamerkan taring sejak awal saingan apabila lontaran pertamanya, 17.31m telah memecahkan rekod terdahulu yang dilakarnya di London itu.
Dua atlet Ukraine, Maksym Koval dan Oleksandr Yarovyi cuba memberi tekanan, namun sekadar berpuas hati dengan perak serta gangsa.
Koval melakukan lontaran terbaik 17.34m, manakala Yarovyi dengan 17.30m.
Ini emas kedua diraih kontinjen negara di Tokyo selepas Bonnie Bunyau Gustin menghadirkan emas sulung dalam acara powerlifting.