PETALING JAYA: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin gagal menempatkan diri dalam penentuan pingat gangsa berbasikal kejar mengejar 3,000 meter (m) C1 lelaki Sukan Paralimpik Tokyo selepas menempatkan diri di tangga ketujuh daripada 10 peserta, sebentar tadi.
Catatan 3 minit 58.413 saat (s) yang dilakukan Yusof di Velodrom Izu bagaimanapun berjaya memperbaiki masa peribadi terbaiknya, 4:02.959s.
Pelumba ranking pertama dan kedua akan bersaing untuk perebutan emas, manakala atlet di tangga ketiga serta keempat merebut gangsa dalam perlumbaan yang berlangsung petang ini.
Pelumba Rusia, Mikhail Astashov mengungguli saingan kelayakan dengan catatan 3:35.954s dan catatannya itu turut memecah rekod dunia.
Berada di tempat kedua adalah Tristen Chernove dari Kanada dengan catatan 3:40.591s, manakala Zhangyu Li dari China ketiga (3:41.164s), pelumba Sepanyol, Ricardo Ten Argiles keempat (3:42.795s).
Yusif akan beraksi dalam acara pecut campuran berpasukan pada Sabtu ini.