JOHOR BAHRU: Biarpun dua kali dibelasah 5-0 dalam tempoh seminggu, pengendali Perak, Chong Yee Fatt yakin Bos Gaurus tidak akan tersingkir ke kancah Liga Perdana musim depan.
Kekalahan terbaharu itu meletakkan Perak di tangga kedua tercorot Liga Super selepas mengutip 13 mata daripada 16 perlawanan.
Sabtu minggu lalu, Bos Gaurus turut dibenam 5-0 oleh Terengganu FC, namun keadaan sedikit reda apabila mereka seri 0-0 dengan Kuala Lumpur City (KL City) sebelum menjadi mangsa amukan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-0 kelmarin.
Yee Fatt yakin, pasukannya mampu mencatat keputusan baik dalam baki enam perlawanan menentang Penang FC (esok), UiTM FC (Ahad), Selangor (14 Ogos), Kedah (17 Ogos), Melaka United (21 Ogos) dan Sabah pada 27 Ogos.
“Kami perlu menang dalam semua baki perlawanan selepas ini untuk meletakkan pasukan di zon yang selamat. Ini bukanlah tugas yang mudah, jadi kami perlu bermain bermati-matian dan menganggap setiap saingan ibarat final.
“Ini saja cara yang ada buat Perak untuk terus kekal berada di Liga Super. Kami tidak boleh mengharapkan keputusan perlawanan lain semata-mata.
“Saya yakin Perak tidak akan tersingkir ke Liga Perdana musim depan. Walaupun pasukan kini diperkuatkan dengan pemain muda, ia tidak menjadi masalah kerana suasana sudah berubah dan mereka juga dahagakan kemenangan seperti pemain lain,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, pemain Perak terlalu menghormati lawan dan keputusan tidak menggambarkan karakter sebenar pemain.
“Kebanyakan pemain juga kecewa dengan diri mereka sendiri,” katanya.
Bergson Da Silva muncul wira JDT apabila meledak hatrik pertama bersama pasukan ketika membelasah Perak.
Gonzalo Cabrera menambah dua jaringan pada minit akhir perlawanan untuk melengkapkan kemenangan besar 5-0 Harimau Selatan.