LONDON: Hubungan dingin di antara Maverick Vinales dan pasukan Yamaha tiba di kemuncak selepas kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kerjasama serta merta bermula semalam.
Biarpun pelumba Sepanyol itu digantung daripada Grand Prix (GP) MotoGP Austria minggu lalu, namun dia dijangka terus berlumba buat Yamaha kerana kontraknya hanya berakhir pada hujung musim ini.
Bagaimanapun selepas beberapa kali cuba merosakkan enjin motosikalnya pada GP Styrian dan menukar kontrak asal yang sepatutnya berakhir selepas 2022, kedua-dua pihak memutuskan untuk menamatkan kerjasama.
“Mengikut persetujuan asal di Assen, kami akan berpisah setahun lebih awal tetapi saya perlu melengkapkan musim ini dengan usaha maksimum.
“Bagaimanapun pada GP Styrian, perlumbaan tidak berjalan seperti diharapkan. Ia berakhir dengan cara yang tidak bagus.
“Selepas membuat segala pertimbangan, kedua-dua pihak bersetuju adalah lebih baik kerjasama ini ditamatkan serta merta.
“Saya menghargai dan berterima kasih kepada Yamaha atas peluang yang diberikan.
“Terima kasih juga kerana menyokong saya sepanjang empat tahun setengah ini, dan saya tidak akan melupai kejayaan yang kami raih bersama.
“Saya sentiasa menghormati Yamaha dan mengucapkan yang terbaik,” kata Vinales.
Pelumba uji Yamaha, Cal Crutchlow akan mengisi kekosongan Vinales di Grand Prix Britain minggu depan, namun belum ada butiran lanjut diumumkan pasukan setakat ini.
Vinales sebelum ini tampil memohon maaf kepada Yamaha yang ‘menggantungnya’ daripada berlumba di Austria hujung minggu lalu selepas didakwa sengaja merosakkan jenteranya pada GP Styria awal bulan ini.
Pasukan Aprilia bagaimanapun membuat kejutan Isnin lalu apabila mengumumkan telah ‘menyambar’ Vinales sebagai untuk bergandingan dengan Aleix Espargaro musim depan.
Vinales dikatakan tidak gembira dengan pasukan Yamaha yang memberi layanan istimewa kepada Fabio Quartararo yang menyertai pasukan itu musim ini. – AGENSI