MANCHESTER: Manchester United memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan bergaya apabila hatrik Bruno Fernades membantu Red Devils membelasah Leeds United 5-1 sebentar tadi.
Beraksi di depan 73,000 penonton di Old Trafford iaitu kehadiran terbesar dalam perlawanan bola sepak di United Kingdom sejak Mac 2020, United melaungkan amaran awal mereka bersedia menjadi pencabar utama kejuaraan.
Biarpun sering dikaitkan dengan perpindahan, Paul Pogba tetap mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan empat bantuan gol untuk membantu pesta gol Red Devils.
Fernandes meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-30, namun Leeds menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan cantik Luke Ayling tiga minit selepas babak kedua bersambung.
Bagaimanapuna aksi hebat Pogba menyebabkan United sukar digugat apabila bintang tengah Perancis itu melakukan hantaran kepada Mason Greenwood untuk gol kedua pasukannya pada minit ke-52.
Dia sekali lagi mencipta gerakan pada minit ke-54 untuk gol ketiga yang disempurnakan Fernandes sebelum membantu bintang Portugal itu meledak hatrik di minit ke-60.
Pogba turut memainkan peranan penting untuk gol kelima tuan rumah yang disempurnakan oleh Fred pada minit ke-68.
Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer menamatkan kempen Liga Perdana musim lalu di tangga kedua di belakang Manchester City.
Begitupun mereka tampak serius untuk mencabar kejuaraan musim ini dengan membawa masuk pemain sayap England, Jadon Sancho dan bek tengah Perancis, Raphael Varane.
Sancho masuk sebagai pemain gantian dalam aksi di Old Trafford, manakala Varane menandatangani kontrak empat tahun hari ini.
United juga masih mampu membelasah Leeds biarpun turun tanpa kekuatan utama selepas Marcus Rashford dan Edinson Cavani direhatkan kerana kecederaan. – AGENSI