KUALA TERENGGANU: Seramai tujuh pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) akan menyertai Jelajah Almaty di Kazakhstan pada 28 Ogos ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Nasiruddin Wan Idrus berkata, mereka ialah Mohd. Zamri Saleh, Nur Aiman Zariff dan Shahrul Mat Amin di samping pelumba import, Jambaljamts Sainbaya, Artem Ovechkin, Metkel Eyob dan Jeroen Meijers.
Katanyas, TSG meletakkan sasaran untuk mengekalkan rentak cemerlang dengan satu kedudukan podium dalam kejohanan dua hari itu.
“Sepatutnya beberapa lagi siri kejohanan luar negara berlangsung tetapi ditangguhkan sehingga November dan Disember ekoran pandemik Covid-19.
“Perlumbaan di Kazakhstan ini menjadi penutup musim 2021 sebelum saingan musim baharu 2022 bermula pada September atau Oktober,” katanya ketika ditemui di pejabat TSG di sini, semalam.
TSG kini memungut 850 mata dalam ranking Asia jauh meninggalkan Vino-Astana Motors (204 mata) di kedudukan kedua.
Secara keseluruhan, pasukan benua itu meraih 21 kedudukan podium hasil penyertaan dalam siri perlumbaan di Turki dan Rwanda sekali gus membantu TSG berada di ranking 31 dunia.