LONDON: Thomas Tuchel percaya Chelsea menunjukkan sikap yang membolehkan mereka menjadi juara Liga Perdana Inggeris.
Dalam aksi di Anfield, kelmarin mereka terikat 1-1 dengan Liverpool.
Chelsea terpaksa bermain dengan 10 orang sepanjang babak kedua selepas Reece James dibuang padang di akhir babak pertama kerana menahan bola dengan tangan.
Ketika itu Chelsea mendahului 1-0 hasil tandukan Kai Havertz dan Liverpool menyamakan kedudukan menerusi penalti Mohamed Salah selepas insiden James itu.
Bersambung babak kedua, anak buah Jurgen Klopp gagal memanfaatkan kelebihan pemain untuk menembusi benteng juara Eropah itu.
“Kami menunjukkan kekentalan dan berhak mendapat satu mata itu. Saya puji pemain-pemain kerana tidak ada stadium lebih sukar berbanding di (Manchester) City atau Anfield apabila bermain kurang seorang.
“Tiba-tiba situasi bertukar, namun pemain-pemain cukup kental. Terasa seperti permainan terlalu lama. Saya berharap kami terselamat dan mengutip mata,” kata Tuchel. – AFP