LONDON: Bek kanan England, Kieran Trippier berusaha ‘menekan’ juara La Liga, Atletico Madrid untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris dan menyertai Manchester United.
Pada ketika, Atletico tidak bersedia memulakan rundingan, United hanya mempunyai satu cara jika mahu mendapatkan pemain berusia 30 tahun itu iaitu dengan menebus kontraknya bernilai 34 juta pound (RM199.51 juta).
Menurut portal sukan Sepanyol, Sport, Trippier memberi tekanan kepada skuad Rojiblancos untuk melepaskannya kepada Red Devils, namun Atletico tidak bersedia mengurangkan harga pemain itu.
United yang sudah berbelanja besar 45 juta pound (RM264.06 juta) ketika membawa masuk Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace pada 2019 kini sedang memikirkan apakah mereka patut mengeluarkan wang yang banyak bagi mendapatkan Trippier.
Ini kerana kedua-dua pemain beraksi di posisi sama.
Trippier memainkan peranan penting buat Atletico selepas membawa pasukan itu merangkul kejuaraan La Liga musim lalu.
Dia juga watak utama England ketika muncul naib juara Kejohanan Eropah (Euro) 2020 bulan lalu.
Baru-baru ini, penyerang Queens Park Rangers (QPR), Charlie Austin mendakwa
gagal bertahan dengan baik ketika pasukannya menewaskan United 4-2 dalam aksi persahabatan, 24 Julai lalu.
Penyerang berusia 32 tahun itu menyokong United untuk mendapatkan Trippier jika mereka berhasrat mencabar kejuaraan musim depan. –AGENSI