LONDON: Cristiano Ronaldo menyelar pihak yang menyebarkan spekulasi dia akan meninggalkan Juventus dengan menyifatkan mereka tidak menghormati dirinya.
Manchester United, Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) dikaitkan dengan perpindahan bintang Portugal tersebut, malah dia juga dikatakan mungkin kembali ke pangkuan Real Madrid.
Pengurus Real, Carlo Ancelotti sudah membuat kenyataan secara terbuka bahawa gergasi bola sepak Sepanyol itu tidak berminat mendapatkan penyerang berusia 36 tahun tersebut.
Ronaldo juga membuat kenyataan di media sosial meminta semua pihak menghentikan khabar angin mengaitkan dirinya dengan beberapa kelab Eropah, sambil menegaskan semua berita itu adalah palsu.
“Semua yang mengenali saya tahu, bagaimana fokusnya saya terhadap kerja. Kurangkan bercakap dan lebihkan tindakan. Itu moto.
“Bagaimanapun melihat semua yang diperkatakan dan ditulis, saya perlu menjelaskan situasi.
“Mereka tidak hormat saya sebagai seorang lelaki dan pemain dengan membicarakan tentang masa depan saya di media sosial,” kata pemilik lima gelaran Ballon d’Or itu.
Beberapa portal sukan melaporkan, Ronaldo telah menawarkan dirinya kepada City yang bergelut mendapatkan Harry Kane. – AGENSI