KUANTAN: Sri Pahang gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Ini kekalahan kedua berturut-turut buat skuad bimbingan Dollah Salleh selepas turut tumpas 0-2 kepada Terengganu dalam aksi terakhir.
Kekalahan ini menyaksikan Sri Pahang menghuni tangga keempat tercorot, hanya empat mata dipisahkan dari zon penyingkiran.
Pasukan pelawat tampil garang pada awal permainan apabila melancarkan serangan ke gawang Sri Pahang dan sepakan sudut pada tiga minit pertama sudah cukup memberi amaran awal kepada tuan rumah.
Mujur penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Daniel Wafiuddin yang pertama kali diberi kepercayaan menjaga gawang musim ini menafikan peluang pelawat.
Peluang anak-anak buah Bojan Hodak muncul lagi pada minit ke-27 melalui Romel Morales yang hanya berdepan Muhammad Daniel tetapi gagal memecah kebuntuan apabila bola hanya melintasi palang gol.
Selepas itu, bola mula bertukar arah selepas skuad Sri Pahang mula mengasak ke kubu Kuala Lumpur.
Minit ke-35, Pahang mula panas dengan sering kali melancarkan serangan sehingga penjaga gol pelawat, Kevin Mendoza tidak senang duduk.
Memasuki babak kedua, KL City akhirnya membuka jaringan melalui sepakan deras Monzales pada minit ke-49.
Selepas itu perlawanan agak tegang sehingga memaksa pengadil, Muhammad Usaid Jamal memberi kad kuning kepada Monzales dan pemain Sri Pahang, Manuel Hidalgo.
Ketika Sri Pahang asyik melancarkan serangan, K. Partiban berjaya melorongkan bola kepada Zhafri Yahya, menewaskan Muhamad Daniel untuk gol kedua pelawat pada minit ke-70.