KUALA NERUS: Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh mengakui skuad kendaliannya beraksi di bawah tahap sebenar susulan kekalahan 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) di tempat lawan kelmarin,
Katanya, aksi tidak bermaya menyebabkan dua gol dibolosi dengan mudah sekali gus menafikan misi mereka membawa pulang satu mata.
Dollah bagaimanapun enggan menyalahkan kesalahan individu, sebaliknya menuntut barisan pemainnya kembali bangkit membawa Tok Gajah keluar dari zon penyingkiran.
“Malam ini (semalam) kelihatan serba tidak menjadi dan kurang bermaya, jika persembahan berterusan begini kami tidak akan ke mana.
“Kerisauan saya ialah Sri Pahang akan terus tercicir dalam carta liga, namun saya percaya pasukan akan bangkit dalam perlawanan selepas ini,” katanya.
Sementara itu rakan sejawatannya, Mohd. Nafuzi Zain menyifatkan gol awal berjaya membantu TFC memimpin perlawanan selepas penyerang sandaran, David Da Silva terpaksa dikeluarkan pada minit ke-14.
Katanya, kredit wajar diberikan kepada semua pemain yang beraksi mengikut perancangan sejak wisel sepak mula ditiupkan walaupun gagal menambah jaringan pada babak kedua.
“Gol pertama menyuntik lebih keyakinan dan motivasi untuk kami mengekalkan corak permainan di samping mengawal tempo perlawanan, walaupun dari awal jelas kelihatan pemain agak keletihan akibat jadual padat tetapi kami berjaya memastikan tiga mata penting untuk kekal di kelompok atasan,” katanya.