PETALING JAYA: Kontinjen Sukan Olimpik mungkin gagal meraih emas pertama, namun rakan-rakan mereka daripada skuad para bersedia menembus kekecewaan dengan menggalas misi memburu tiga emas apabila Sukan Paralimpik 2020 membuka tirai 24 Ogos ini.
Olahraga, badminton, powerlifting dan memanah menjadi sandaran Malaysia untuk mencari emas yang disasarkan, sekali gus menyamai pencapaian di Rio 2016.
Lima tahun lalu, Malaysia membawa pulang tiga emas menerusi Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20 lelaki, masalah pembelajaran), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20 lelaki, masalah pembelajaran) dan Ridzuan Mohd. Puzi menerusi 100m T36 lelaki (cerebral palsy).
Olahraga turut menjadi penyumbang pingat keempat Malaysia iaitu gangsa yang diraih Siti Noor Radiah Ismail T20 (masalah pembelajaran).
Kali ini, beberapa atlet selain olahraga turut berpotensi menghadirkan pingat, namun Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal enggan mendedahkan secara spesifik atlet yang disasarkan emas.
“Saya tidak mahu sebutkan nama mereka yang menjadi sandaran kerana ia akan memberi tekanan.
“Kita tidak sebutkan nama atlet tetapi berdasarkan sukan yang dinyatakan, kita semua sudah boleh mengagak atlet yang terlibat.
“Cheah Liek Hou (badminton) beraksi dengan cukup cemerlang di Dubai dan Sepanyol sebelum ini dan dia berada di ranking kedua dunia.
“Bonnie (Bunyau Gustin) cemerlang dalam acara powerlifting dengan memperbaharui rekod dunia di Dubai dan dia berada di ranking pertama dunia.
“Bukan mereka sahaja, kita percaya atlet lain juga mampu melakar kejutan,” katanya.
Malaysia membariskan 22 atlet dalam sembilan sukan iaitu olahraga, memanah, badminton, boccia, berbasikal, powerlifting, renang, pingpong dan tenis kerusi roda akan berangkat ke Tokyo bermula 19 Ogos.