LONDON: Rio Ferdinand, Alex Ferguson dan Bruno Fernandes tiga individu yang menghubungi Cristiano Ronaldo untuk meyakinkan bintang Juventus itu agar menyertai Manchester United.
Kaki Ronaldo sudah selangkah menghampiri Manchester City, sebelum dia merubah fikiran pada saat akhir dan memilih pulang ke Old Trafford.
Kelmarin, Red Devils mengesahkan kepulangan bintang penyerang berusia 36 tahun itu dengan kontrak dua tahun selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.
City pasukan pertama mengorak langkah mendapatkan pemenang Ballon d’Or lima kali itu sejurus pengendali Juventus, Massimiliano Allegri mengumumkan dia mahu meninggalkan gergasi bola sepak Itali tersebut.
Ketika kapten Portugal itu bersedia menandatangani kontrak bersama City, namun dalam keadaan luar biasa, United berjaya mendapatkan semula khidmatnya.
Red Devils mengesahkan kedua-dua pihak sudah mencapai terma peribadi dan hanya menunggu permohonan visa dan ujian perubatan sebelum menandatangani kontrak.
Ronaldo dikatakan bakal menikmati gaji 510,000 pound (RM2.49 juta) seminggu, lebih rendah daripada yang diraih di Juventus.
Campur tangan saat akhir Ferguson antara faktor dia berubah fikiran, selain rakan sepasukan dari Portugal, Fernandes turut memujuk Ronaldo.
Gabungan pujuk rayu tiga individu itu meyakinkan Ronaldo untuk menamatkan rundingan dengan City dan beralih ke kelab yang sudah 12 tahun ditinggalkan.
“Sir Alex memainkan peranan besar. Ronaldo dan Alex mempunyai ikatan yang jarang dimiliki pemain dengan pengurus.
“Tidak mungkin Ronaldo akan menjadi pemain United tanpa bercakap dengan Ferguson,” kata Ferdinand.
Misi Ronaldo kini adalah membantu United merampas Liga Perdana yang sudah lapan tahun tidak dimenangi. – AGENSI