KUALA TERENGGANU: Aksi cemerlang penjaga gol Terengganu FC (TFC) II dan Perak II memaksa kedua-dua pasukan terpaksa akur dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
Satu mata diraih sudah memadai buat TFC II untuk naik ke tangga teratas liga dengan kelebihan jaringan setelah berkongsi 29 mata dengan Negeri Sembilan yang berkelebihan satu perlawanan.
Dalam pertemuan itu, TFC II terlebih dahulu diuji pada minit ke-21, namun penjaga gol, Syed Muhd. Nasrulhaq Syed Bidin cemerlang menafikan peluang satu lawan satu dengan Ghislain Guessan.
Memasuki minit ke-39, giliran tuan rumah datang dengan sepakan percuma Amirul Syazwan Nor Azmi yang menyaksikan tandukan Argzim Redzovic, sekadar terkena palang.
Peluang terbaik Sang Penyu menjelma pada minit ke-57 setelah Amirul Syazwan dikasari Royizzat Daud untuk pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Namun, sepakan Izzan Syahmi Mustapa diselamatkan penjaga gol Perak II, Syazwan Syazany Shafei sebelum tindakan susulannya dibatalkan apabila bola terkena tangan untuk kedudukan kekal 0-0.
Tuan rumah perlu menyalahkan diri sendiri selepas percubaan berturut-turut Amirul Syazwan dan Muhd. Firas Tarmizi di penghujung permainan tersasar memaksa TFC II akur dengan satu mata.