JOHOR BAHRU: Terengganu II kini mengintai untuk menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kedua selepas peluang untuk memenangi gelaran juara liga itu seakan sudah jauh dari jangkauan apabila tewas 2-3 kepada Johor darul Ta’zim II (JDT II) malam kelmarin.
Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, mereka perlu memenangi kesemua tiga baki perlawanan di tempat lawan untuk memastikan pasukannya mampu menyaingi Negeri Sembilan FC bagi posisi tersebut.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Badrul menyifatkan pemain yang hilang konsentrasi pada babak kedua menyebabkan mereka dihukum pasukan tuan rumah yang bermain bermatian setelah ketinggalan satu gol pada babak pertama.
“Kami cuba bangkit setelah ketinggalan namun pasukan JDT II terus menambah duka buat kami dengan menjaringkan gol ketiga. Kami cuba bangkit dan berjaya mencari gol pada hujung babak permainan tetapi ia sudah terlambat.
“Saya anggap ia bukan rezeki buat kami setelah pemain menunjukkan kesungguhan mereka untuk mencuri satu mata. Dengan keputusan ini, terlalu sukar untuk memintas Sarawak dan hanya mampu menyasarkan untuk menamatkan liga di kedudukan tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Bagi pengendali JDT II, Rafael Sanchez, dia berpuas hati dengan sikap pemain yang mempamerkan kesungguhan dan semangat juang untuk membuat kebangkitan setelah ketinggalan di babak pertama.
Katanya, mereka beraksi dengan baik pada awal permainan cuma disebabkan kesilapan pemain membenarkan pasukan pelawat mendapatkan gol pembukaan sebelum babak pertama berakhir.
“Ketika di bilik persalinan, saya memberi motivasi buat pemain untuk bermain seperti biasa dan terus menggandakan asakan ke arah kubu lawan. Jadi, ini adalah hasil komitmen yang ditunjukkan pemain muda bagi memastikan kemenangan dalam genggaman,” katanya.
Rafael turut berbangga dengan kedudukan JDT II ketika ini dan berharap dapat menamatkan saingan liga dalam kedudukan liga terbaik yang menjadi objektif pasukan sejak awal musim.