TOKYO: Pelari Belanda, Sifan Hassan berkata, dia perlu berterima kasih kepada kafein selepas memenangi pingat emas Sukan Olimpik pertamanya dalam acara 5,000 meter wanita semalam.
Dia memulakan saingan dengan langkah kiri apabila terjatuh dalam saringan 1,500m, namun masih boleh menamatkan sesi kelayakan di tempat pertama.
Didorong oleh kafein, dia kembali ke trek pada sebelah petang dalam acara 5,000m dan memulakan larian agak perlahan bersama sekelompok pencabar.
Sifan bagaimanapun melakukan pecutan pada pusingan terakhir untuk menang dengan masa 14 minit 36.79 saat.
“Hari yang menakjubkan. Sukar untuk mempercayainya. Amat mengerikan ketika terjatuh.
“Jadi, saya segera bangkit dan sebab itu saya terpaksa menggunakan banyak tenaga.
“Sebelum berlumba di sini, saya langsung tidak ambil kisah. Saya terlalu penat.
“Bagaimanapun tanpa kopi, saya mungkin tidak akan jadi juara Olimpik. Sekarang, saya memerlukan semua kafein!” kata atlet kelahiran Habsyah itu.
Sifan, 28, dalam usaha untuk memenangi acara 1,500m, 5,000m dan 10,000m.
Dia muncul atlet Belanda pertama meraih emas olahraga sejak Olimpik 1992 di Barcelona. – AGENSI