KUALA NERUS: Strategi bertahan diamalkan Sabah berjaya membantu skuad Sang Badak mencuri satu mata ketika seri 0-0 dengan Terengganu FC (TFC) di tempat lawan, semalam.
Pengendalinya, Kurniawan Dwi Yulianto mengakui terpaksa memilih jalan sukar untuk menyerap serangan musuh dengan ketiadaan sehingga lima tonggak utama akibat penggantungan perlawanan dan kecederaan.
Katanya, kecederaan penyerang, Josip Ivancic pada babak pertama memburukkan lagi keadaan ketika Sabah menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas.
“Corak permainan menyerang TFC sudah dijangka, jadi kami memberi perhatian kepada aspek bertahan sebelum memasukkan Amri Yahyah dan Saddil Ramdani pada babak kedua.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan kerja keras pemain mendapat satu mata berharga dari tempat lawan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sementara itu jurulatih TFC, Mohd. Nafuzi Zain enggan menjadikan ketiadaan perancang, Makan Konate sebagai punca kebuntuan Sang Penyu mencipta gerakan menarik ke pintu gol lawan.
Katanya, TFC lebih berhak untuk memenangi aksi itu namun dikecewakan ketumpulan serangan yang diketuai kapten, David Da Silva.