KOTA BHARU: Selepas kalah 14 kali dan seri tiga kali dalam 17 perlawanan Liga Perdana, skuad Projek FAM-MSN akhirnya mengecapi kemenangan pertama hari ini.
Anak-anak buah Yusri Che Lah, yang lebih dikenali sebagai pasukan ‘lepasan sekolah’ mengejutkan Kelantan United 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Jaringan Azhad Harraz Arman pada minit ke-77 memadai untuk membantu Projek FAM-MSN melakar kemenangan amat berharga.
Dalam perlawanan itu, tuan rumah bermula garang apabila menguji benteng pelawat menerusi sepakan percuma Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pada minit kesembilan yang sedakar melewati gawang gol pelawat.
Fakhrul Zaman terus mencuri peluang untuk memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-15, namun sayang tandukannya sekali lagi tersasar dari gawang Skuda Projek FAM-MSN selepas menerima hantaran lambung dari rakan sepasukan Mohammad Imran Samso.
Dominasi Kelantan United berterusan selepas itu menerusi Gassama Alfusainey, namun tandukkannya sedikit sahaja tersasar dari mulut gol pelawat pada minit ke-24.
Ketika ghairah menyerang, Projek FAM-MSN memperoleh peluang terbaik menerusi sepakan percuma Azhad Harraz pada minit ke-34, namun dinafikan oleh ketangkasan Fikri Che Soh.
Muhaimin Izuddin Muhammad Asri hampir meledak jaringan pertama Projek FAM-MSN pada minit ke-63, namun Fikri cemerlang menyelamatkan pintu golnya dari dibolosi rembatan itu.
Berpunca dari serangan balas pantas, Azhad Harraz menghukum kealpaan benteng pertahanan tuan rumah pada minit-78 apabila melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti yang melepasi jangkauan Fikri.