Skuad campuran galas misi Paris 2024 - Utusan Malaysia

Skuad campuran galas misi Paris 2024

NUR Dhabitah Sabri cemerlang dalam saingan 3m papan anjal, namun ia tidak cukup untuk menghadiahkan pingat buat Malaysia di Tokyo 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerjun muda dijangka membarisi pasukan negara bersama beberapa atlet senior apabila Malaysia kembali ke kolam renang bersama misi mencabar pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas menutup kempen di Tokyo dengan kekecewaan, persaraan penerjun senior seperti Leong Mun Yee dijangka membuka pintu buat beberapa muka baharu melakukan penampilan sulung pada ketika masa depan Cheong Jun Hoong juga tidak menentu.

Mun Yee, 36, sudah mengesahkan akan ‘menutup buku’ sebaik saja melengkapkan penampilan keempat di Olim­pik, manakala Jun Hoong yang akan berusia 34 tahun di Paris belum memutuskan mengenai perancangannya.

Pandelela Rinong, 28, masih bersemangat untuk mencabar pingat tiga tahun dari sekarang dan Nur Dhabitah Sabri, 22, sekali lagi dijangka menjadi sandaran, begitu juga Wendy Ng, yang mencecah usia 28 tahun pada 11 Julai lalu.

AKSI negara, Pandelela Rinong dalam saingan akhir 10m platform wanita di Tokyo. – AFP

Bekas penerjun kebangsaan yang pernah beraksi dalam tiga Sukan Olimpik, Bryan Nickson Lomas berkata, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) sedang membangunkan penerjun muda untuk diketengahkan ke pertandingan antarabangsa.

Katanya, dia serta beberapa bekas atlet kebangsaan pernah dipanggil menjadi juri dalam kejohanan terjun dan melihat sendiri MAS memba­ngunkan teknik terjunan atlet muda.

“Saya melihat usaha ke arah itu sudah ada, Malaysia memiliki beberapa penerjun muda yang berbakat dan boleh diketengahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bryan yang memahat sejarah menjadi atlet termuda bertan­ding di Olimpik Athens 2004, malah diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan yakin Malaysia tidak ketandusan bakat.

Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabillin antara penerjun berbakat yang boleh diketengahkan.

Walaupun standard penerjun seperti Eilisha Rania, Ong Ker Ying, Hanis Nazirul Jaya Surya atau Jellson Jabillin agak jauh di belakang senior mereka, namun dalam tempoh tiga tahun dari sekarang, mereka harus diketengahkan bermula dengan Sukan SEA 2022 di Filipina.

Selepas meraih gangsa di London 2012 (Pandelela, 10 meter platform individu) dan pe­rak di Rio 2016 (Pandelela-Jun Hoong, 10m platform seirama), terjun menutup kempen di ­Tok­yo 2020 tanpa sebarang ­pingat.

Pencapaian terbaik Malaysia menerusi Nur Dhabitah yang menamatkan saingan akhir 3m papan anjal wanita di tangga keempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya