IPOH: Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Begitu kata Mohd. Shahril Nizam Khalil yang memulakan tugas selaku pengendali sementara Perak FC, mulai semalam.
Shahril, 49, mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pasukan dari Chong Yee Fatt yang direhatkan selama dua minggu.
Bekas pemain Perak itu menghadapi ujian pertamanya apabila anak buahnya turun menentang Penang FC di Ipoh, malam ini.
“Berat tugas ini. Ini tanggungjawab besar, saya akan cuba curahkan segala ilmu yang ada kepada pemain.
“Bagaimanapun saya tidak menjanjikan sebarang keajaiban,” kata Shahril ketika ditemui di sini.
Bagi melaksanakan tugas berat itu, Shahril meminta bantuan bekas kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha untuk membantunya.
Katanya, pemilihan Shahrulnizam atau Arul dibuat juga atas permintaan pemain .
Justeru, Shahril mengharapkan doa dan sokongan penyokong Perak dalam tiga perlawanan yang dikendalikannya termasuk menentang UiTM FC ( 8 Ogos) dan Selangor FC (14 Ogos).
“Bantulah pemain dalam keadaan kritikal ini. Sokongilah mereka. Jangan kecam dan kritik mereka kerana hanya akan menjatuhkan semangat dan moral mereka,” katanya. – UTUSAN