KUANTAN: Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh buntu memikirkan bagaimana hendak mengatasi masalah jentera serangan Tok Gajah yang kurang bernafsu merobek gawang lawan.
Trio hadapan Pahang dilihat tumpul sehingga timbul tanggapan mereka antara penyebab kekalahan 0-2 kepada Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Darul Makmur kelmarin.
Sri Pahang gagal mengutip sebarang mata buat kali kedua berturut-turut selepas tewas dengan jaringan sama kepada Terengganu awal bulan ini, sekali gus dua perlawanan tanpa gol dihasilkan anak buah Dollah.
“Sejak akhir-akhir ini, nampak susah untuk jaringkan gol, macam-macam usaha sudah dibuat ketika latihan termasuk latihan rembatan membabitkan penyerang tetapi tidak berkesan,” kata Dollah di sini kelmarin.
Bekas penyerang kebangsaan itu mengakui jentera serangan yang gagal boleh menganggu rentak pemain lain terutama pemain pertahanan untuk mempamerkan aksi yang lebih bersemangat.
Menurutnya, ada dalam kalangan pemain mungkin tidak puas hati dengan rakan lain yang secara tidak langsung boleh menjejaskan peluang Sri Pahang untuk bangkit sekurang-kurangnya mendapat satu mata dari perlawanan menentang anak buah Bojan Hodak.
Dalam perlawanan itu Kuala Lumpur City bermula garang apabila berjaya memperolehi dua sepakan penalti dalam masa lima minit pertama tetapi berakhir tanpa jaringan selepas 45 minit.
Empat minit babak kedua, gerakan yang dimulakan J. Partiban berjaya disudahkan Romel Morales sebelum Partiban sekali lagi membantu Zhafri Yahya menjarinkan gol kedua pelawat pada minit ke-70.
Penyerang Sri Pahang bukan tidak berpeluang untuk menjaringkan gol tetapi aksi Aung Kuang Mann, Abd. Malik Mat Arif dan Manuel Hidalgo kurang bernasi baik untuk mencetak gol.
Sri Pahang dilihat mampu menyerap tekanan yang dilakukan anak buah Hodak dan berjaya menguasai padang terutama 20 minit terakhir tetapi hampa.
Penyerang import dari Myanmar yang diturunkan kali ke lima telah menjaringkan dua gol masing masing satu ketika bertemu Perak FC dan PJ City FC gagal menunjukkan aksi terbaik sesuai dengan pengalaman beraksi di peringkat tinggi bersama negaranya.
Begitu juga Hidalgo pemain import dari Argentina dan Abd. Malik yang seakan-akan kurang mendapat sokongan untuk menembusi benteng pertahanan Kuala Lumpur.
Dollah selepas tentunya perlu berdepan detik sukar apabila akan berdepan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu depan dan perlu melakukan sesuatu jika tidak mahu berada dalam zon penyingkiran.