PETALING JAYA: Selepas Jack Carlin, hari ini pelumba Australia, Matthew Glaetzer pula menjadi mangsa ‘serangan’ warga net Malaysia selepas tindakannya membiarkan pelumba Great Britain, Jason Kenny memecut terlalu jauh dalam acara akhir keirin merosakkan peluang Datuk Azizulhasni Awang untuk memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia.
Dalam perlumbaan di Velodrom Izu itu, Azizulhasni yang diletakkan dalam undian kelima perlu perlu mengikut pelumba-pelumba di depannya, dan Kenny yang mendapat undian pertama menggunakan taktikal senko memecut dari awal untuk jauh meninggalkan pesaing lain.
Glaetzer sepatutnya mengekori rapat Kenny bagi membolehkan pelumba lain mengikuti di belakang, namun perkara itu tidak berlaku.
Sebaik saja semua pelumba berpeluang memotong satu sama lain, Kenny sudah terlalu jauh untuk dikejar sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas.
Azizulhasni, 33, menunjukkan kayuhan yang hebat untuk membawa pulang perak meninggalkan bintang Belanda yang juga juara pecut, Harrie Lavreysen dengan gangsa.
Berang dengan tindakan Glaetzer yang dianggap ‘sengaja’ menghadang peluang lain, warga net Malaysia menyerang Instagram pelumba 28 tahun itu.
“Woiii awat x pecut final?,” tulis pemilik akaun nurul5ulaiman.
1h84 likesReply
“Bro, u should follow jason kenny from beginning,” kata fahmi_negredo.
“Good block,help Britain to get champion,” tulis lau.kokkiong.
“How much team GB paid you ?,” kata epy5427 pula.
Sejurus tamat perlumbaannya, Azizulhasni merayu kepada rakyat Malaysia agar tidak menyerang media sosial pelumba lain disebabkan dia gagal memenangi emas.
Pelumba muda negara, Fadhil Mohd. Zonis juga menjelaskan, tidak mungkin Glaetzer sengaja menghadang pelumba lain untuk membolehkan Kenny meraih emas kerana mereka datang dari dua negara berbeza.
Katanya, mungkin hanya strategi Glaetzer tidak betul dalam perlumbaan itu dan ia tiada kena mengena dengan kedua-dua pelumba sudah berpakat.
Semalam, pelumba Britain, Carlin turut menjadi mangsa serangan warga net Malaysia kerana dikatakan punca Shah Firdaus Sahrom terjatuh pada pusingan pertama keirin.