KOTA BHARU: Kelantan United terlepas peluang memburu kedudukan terbaik apabila sekadar seri 2-2 dengan Selangor FC II pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, KUFC terpaksa menunggu sehingga minit ke-33 untuk memecah kebuntuan Muhammad Zafuan Azeman yang tenang melepaskan rembatan kencang selepas memanfaat hantaran lintang rakan sepasukan.
Pelawat cuba bangkit selepas itu menerusi beberapa gerak-gerak menarik yang cuba diatur namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.
Minit ke-43, Ariusdius Jais mempersia-siakan peluang menambah jaringan apabila rembatannya terus ke dakapan penjaga gawang Selangor FC II Sikh Izhan Nazrel Shikh Azman.
Bersambung babak kedua, pelawat cuba bangkit dan hampir-hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-53, namun kuisan Azannis Adzri Abdul Halim sedikit tersasar dari mulut gol KUFC.
Seminit berselang, Gassama Alfusainey meredakan ‘bahang’ cuaca panas waktu petang di Stadium Sultan Muhammad IV apabila meledakkan gol kedua KUFC mudah menampang masuk bola lintangan Mohd. Fadzrul Amir Zaman.
Alexander Ameyaw menghadirkan keceriaan buat kem Selangor FC II apabila meledakan jaringan pada minit ke-70 untuk merapatkan jurang jaringan menjadi 2-1.
Gassama terus menjadi ‘duri dalam daging’ buat pelawat apabila hampir mencetak gol kedua peribadi dan ketiga buat KUFC, namun sayang rembatan dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh Sikh Izhan Nazrel.
Ketika tuan berkira-kira untuk meraih tiga mata, pemain gantian T. Saravanan menjadi watak pemusnah apabila meledakan gol penyamaan pada minit ke-82 sekaligus mengikat keputusan menjadi 2-2.
Keputusan 2-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus memberikan kelegaan buat pengendali Selangor FC II Michael Fiechtenbeiner.