SEPANG: Semangat jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang masih membara dan dia bertekad untuk kembali bertarung memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Sejurus tiba di tanah air hari ini, pelumba berusia 33 tahun yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu berkata, kegagalan membawa pulang emas di Tokyo 2020 tidak mematahkan semangatnya.
Dia sebaliknya berhasrat untuk menukar perak yang dimenangi dalam acara keirin menjadi emas selepas menukar gangsa yang diraih di Rio 2016 menjadi perak.
“Semangatnya masih membara, keinginan masih tinggi dan saya juga tidak berdepan dengan sebarang isu fizikal. Namun seperti yang saya katakan, kita akan buat perancangan semula,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.
Aksi di Tokyo adalah penampilan keempat Azizulhasni di pentas Olimpik selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.
Dalam pada itu, Azizulhasni memaklumkan yang dia mahu pulang ke Dungun, Terengganu bagi bertemu bapanya, Awang @ Muda Embong, 72, yang dilaporkan menghidap penyakit angin ahmar sebaik tamat tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.
“Perkara pertama yang saya mahu lakukan selepas kuarantin adalah melawat bapa saya yang kurang sihat dan ibu saya,” katanya.
Azizulhasni turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada dirinya dan kontinjen negara sepanjang beraksi di Olimpik Tokyo.