PETALING JAYA: Biarpun dalam suasana sederhana dan serba terhad ekoran pandemik Covid-19, Datuk Azizulhasni Awang yang pulang ke tanah air petang ini akan tetap diberi sambutan wira atas kejayaan memenangi pingat perak berbasikal keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Kejayaan pelumba kelahiran Dungun itu bakal menyaksikan dia menerima pelbagai imbuhan, sekali gus membalas segala pengorbanan dan kepayahan yang dilaluinya selama ini.
Sebagai pemenang pingat perak Olimpik, Azizulzulhasni akan menerima RM300,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih gangsa pula akan menerima RM100,000.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum ini menawarkan biasiswa dan jawatan pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan kepada atlet basikal trek negara.
Datuk Muhammad Muqarabbin Mokhtarudin menjanjikan RM15,000, manakala kerajaan negeri Terengganu bersetuju memberikan insentif kepada jaguh berbasikal trek negara yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Di bawah Skim Imbuhan Tetap Olimpik dan Paralimpik Majlis Sukan Negara, hanya pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik yang menerima elaun bulanan seumur hidup untuk prestasi kelas dunia mereka.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan skim pencen untuk atlet yang telah layak ke Sukan Olimpik dan mencapai kejayaan yang setara dengan Olimpik.
Pemenang pingat emas akan menerima wang tunai RM1 juta Shakam dan pencen bulanan RM5,000; pemenang pingat perak menerima RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala pemenang pingat gangsa menerima RM100,000 serta pencen sebanyak RM2,000 sebulan.