PETALING JAYA: Pengalaman luas di peringkat domestik dan antarabangsa membolehkan Mohd. Saifuddin Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pelantikan Saifuddin, 60, berkuat-kuasa pada 1 September menggantikan Stuart Ramalingam yang sebelum ini diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Saifuddin mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai Pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1991.
Beliau kemudian menjawat tugas di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003, termasuk sebagai Ketua Jabatan Pertandingan dan pernah menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selaku Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau dari 2003 hingga 2007.
Berasal dari Melaka, Saifuddin kemudian kembali ke FAM sebagai Penolong Setiausaha Agung dari 2007 hingga 2009 sebelum berhijrah ke Asia Barat untuk menjadi Penolong Ketua Pertandingan Qatar Stars League dan kemudiannya berkhidmat pula sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019.
Saifuddin juga merupakan Komisioner Perlawanan FIFA dan AFC.
“FAM percaya dengan pengalaman luas di peringkat domestik dan antarabangsa serta latar belakang dan kelayakan yang dimiliki, Saifuddin mampu membawa FAM ke tahap lebih tinggi sambil memenuhi aspirasi pemegang taruh.
“Selamat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara,” tulis FAM dalam satu kenyataan hari ini.