LONDON: Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri hari ini mengesahKan Cristiano Ronaldo mahu meninggalkan gergasi bola sepak Itali itu.
Bintang Portugal tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City, namun bekas pasukannya, Manchester United mengambil langkah drastik saat akhir dengan cuba ‘mencantas’ Ronaldo daripada pergi ke Etihad.
“Semalam, Cristiano Ronaldo bercakap dengan saya dan memberitahu dia tidak bercadang untuk kekal di Juventus.
“Atas sebab itulah saya tidak menyenaraikannya dalam pasukan,” kata Allegri dalam sidang akhbar menjelang perlawanan Serie A menentang Empoli esok.
Ketika ditanya apakah dia kecewa dengan keputusan Ronaldo untuk pergi, Allegri membalas: “Tidak. Dia sudah buat keputusan.
“(Omar) Sivori, (Alessandro) Del Piero, (Zinedine) pernah datang dan pergi. Juventus kekal di sini dan kelab lebih penting.”
Ronaldo, 36, menyertai Juventus pada 2018 selepas sembilan musim beraksi buat Real Madrid dan membantu gergasi bola sepak Sepanyol itu memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara serta dua trofi La Liga.
Semalam, sumber memberitahu ESPN, juara Liga Perdana Inggeris, City sudahpun memulakan rundingan dengan Ronaldo untuk membawa pemain tersebut ke Etihad.
City mengambil tindakan saat akhir itu selepas gagal membawa masuk kapten England, Harry Kane yang mengesahkan mahu kekal di Tottenham.
Berita tersebut nyata tidak menggembirakan penyokong United, yang menyifatkan tindakan Ronaldo menyertai City ibarat ‘pengkhianatan’ terhadap kelab.
Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer ketika ditanya kemungkinan Ronaldo akan kembali ke Old Trafford tidak menolak perkara itu.
“Dia tahu bagaimana perasaan kami terhadapnya. Dia tahu, kalau dia mahu keluar dari Juventus, kami sentiasa ada di sini.
“Saya tidak mahu membuat banyak spekulasi tentang Cristiano. Kami mahu fokus kepada pemain sendiri.
“Seperti yang sering saya katakan, bila anda adalah Manchester United atau (Lionel) Messi dan Ronaldo, anda akan membaca banyak perkara yang diperkatakan tentang anda.
“Saya bernasib baik pernah bermain bersamanya. Sesiapa saja yang pernah beraksi dalam satu pasukan dengannya pasti menyenangi Cristiano,” kata Solskjaer. – AGENSI