LONDON: Jurgen Klopp memberi bayangan Liverpool mungkin membawa masuk beberapa pemain baharu sebelum jendela perpindahan ditutup hujung bulan ini dalam misi merampas semula kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Biarpun mengakui ‘amat gembira’ melihat prestasi pasukannya ketika seri 1-1 dengan Athletic Bilbao dalam aksi persahabatan semalam, namun Reds masih mahu menguatkan beberapa posisi.
Liverpool tidak aktif dalam pasaran perpindahan kali ini dan hanya membuat satu pembelian iaitu pertahanan tengah Perancis, Ibrahima Konate yang dibeli pada harga 36 juta pound (RM211 juta) daripada RB Leipzig.
Pesaing mereka, Manchester City sebaliknya menguatkan jentera depan dengan membawa masuk Jack Grealish yang dibeli pada harga 100 juta pound (RM586 juta), selain masih berusaha mendapatkan penjaring terbanyak liga musim lalu, Harry Kane.
Manchester United pula menandatangani pemain sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho dengan harga 73 juta pound (RM428 juta) dan pertahanan Perancis, Raphael Varane yang dibeli daripada Real Madrid 42 juta pound (RM246 juta).
Chelsea semakin hampir membawa pulang bintang penyerang Belgium, Romelu Lukaku daripada juara Serie A, Inter Milan menerusi perjanjian 98 juta pound (RM574 juta).
“Kami ada banyak perkara bagus yang anda tidak boleh beli. Hantaran-hantaran cantik, suasana di Anfield, lagu keramat kami.
“Kami ada banyak faktor yang mampu membantu pasukan, yang pernah membawa kami meraih kejayaan sebelum ini.
“Bagaimanapun sudah tentu, skuad besar seperti Liverpool selalunya melakukan sesuatu di hujung jendela perpindahan tapi saya tidak boleh dendahkan apa-apa ketika ini,” kata Klopp yang teruja melihat penyokong Liverpool akhirnya kembali ke Anfield buat kali pertama dalam aksi persahabatan semalam.
Ketika ini, Liverpool dikaitkan dengan beberapa nama besar seperti Saul Niguez (Atletico Madrid), Federico Chiesa (Juventus) dan Renato Sanches (Lille). – AGENSI