KOTA BHARU: Pengendali Kelantan FC Marco Ragini terpaksa melakukan rombakan untuk berdepan Sarawak United FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Negeri, Kuching malam ini.
Ragini berkata, rombakan itu terpaksa dibuat susulan The Red Warriors (TRW) kehilangan beberapa pemain akibat masalah kecederaan.
Menurutnya, bagaimanapun situasi itu bukan alasan buat TRW untuk terus berusaha ‘mencuri’ mata meskipun Sarawak United FC bukan calang-calang pasukan.
“Kami sentiasa mahukan perlawanan yang menarik, namun pemain perlu menterjemahkan apa yang telah diterapkan semasa sesi latihan pada aksi sebenar nanti.
“Pada perlawanan lalu, kami telah tampil dengan banyak perubahan, namun rezeki tidak berpihak kepada TRW untuk mengapai kejayaan,” katanya.
Ragini memberitahu, barisan pemain Kelantan FC perlu terus berusaha dengan sebaik mungkin bagi memastikan mereka berjaya mencuri mata ditempat lawan.
Katanya, pemain turut diingatkan supaya tidak berterusan melakukan kesilapan kecil yang boleh memerangkap corak permainan pasukan.
“Sudah pasti saya mahukan kemenangan pada perlawanan ini untuk menghadiahkan kejayaan kepada seluruh peminat TRW dan pengurusan tertinggi pasukan yang banyak berkorban untuk kelab ini bergerak dengan baik pada musim 2021,” ujarnya.
Ragini turut menyeru kepada seluruh peminat Kelantan FC untuk terus memberi kepercayaan kepada pasukan dalam mengharungi baki liga selepas ini.
Selepas mengarungi 14 perlawanan, Kelantan FC menghuni tangga ketujuh dalam carta liga dengan mengumpul 18 mata.