BEIJING: Tidak sampai sebulan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menutup tirai, timbul isu berkaitan kualiti pingat yang dimenangi atlet di temasya tersebut.
Isu itu dibangkitkan gimnas China, Zhu Xueying yang tampil mempersoalkan pingat emas dimenangi mulai terjejas.
Atlet gimnastik trampolin itu memuat naik di media sosial foto pingatnya yang terkopek selepas hanya empat minggu memilikinya.
Xueying meraih emas trampolin individu wanita dengan meraih 56.635 mata menewaskan rakan senegara, Liu Lingling.
Atlet berusia 23 tahun itu menunjukkan pingatnya yang terkopek di bahagian atas dan pada mulanya dia menganggap ia hanya kekotoran namun bahagian yang terkopek itu semakin membesar.
“Bolehkah pingat anda menjadi seperti ini.
“Biar saya jelaskan. Pada mulanya saya anggap ia hanya sedikit kekotoran, jadi saya cuba bersihkan dengan jari tetapi tidak berkesan dan tanda itu makin membesar,” katanya di media sosial Weibo.
Xueying memuat naik foto pingatnya di media sosial bagi mengetahui sama ada atlet lain turut berdepan isu yang sama.
Status itu pantas menjadi tular dengan mendapat 20,000 komen dan membuatkan peminat terkejut. – AGENSI