IPOH: Berdasarkan situasi semasa serta pandangan ramai, Perak FC akhirnya merehatkan ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt selama dua minggu bermula perlawanan dengan Penang FC malam ini.
Untuk tempoh itu, Perak FC akan dikendali oleh penolong jurulatih, Mohd. Shahril Nizam Khalil serta dibantu Shahrulnizam Mustapha.
Tindakan terhadap Yee Fatt diambil ekoran prestasi buruk Bos Gaurus yang dibelasah 0-5 masing-masing oleh Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pengurus Besar Perak, Azman Noh berkata, tindakan itu dibuat dalam usaha menyelamatkan pasukan dari tersingkir ke Liga Perdana.
Perak perlu menang empat daripada enam baki perlawanan untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super.
Katanya, tindakan dibuat selepas mengambil pandangan semua pihak termasuk pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Mohamad Yadzan Mohamad.
“Ini tindakan sementara sahaja. Ia diambil selepas perbincangan dengan barisan kejurulatihan, pemain dan pegawai.
“Keputusan muktamad mengenai Yee Fatt akan dibuat selepas dua minggu,” katanya semalam.
Usaha juga sedang dibuat untuk memujuk dua pemain import, Leandro dan Careca agar kembali ke pangkuan pasukan.