IPOH: Misi Perak FC mengelak tersingkir ke Liga Perdana bertambah sulit apabila tumpas 3-5 kepada Penang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, sebentar tadi.
Dengan kekalahan ini, Perak FC kekal di tangga kedua tercorot liga dan kini hanya keajaiban mampu menyelamatkan pasukan itu.
Tindakan merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Yee Fatt nyata tidak berjaya mengubah nasib pasukan The Bos Gaurus.
Malah pada perlawanan tadi, Pulau Pinang yang tumpas 1-3 kepada Selangor FC sebelum ini bangkit untuk mengutip tiga mata.
Rafael Vitor Santos muncul wira pasukan pelawat apabila menyumbang jaringan hatrik manakala dua lagi gol pasukan Pulau Mutiara itu dijaringkan Casagrande dan Abdul Azim Rahim.
Nana Poku adalah penjaring ketiga-tiga gol tuan rumah yang ketinggalan 2-4 pada separuh masa pertama perlawanan.
Dalam perlawanan di sini, Perak ketinggalan 0-2 selepas hanya lapan minit perlawanan berlangsung.
Pintu gol Perak yang dikawal Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bolos selepas hanya 13 saat perlawanan berlangsung menerusi Rafael Vitor Santos dan pemain import tinggi lampai itu kemudian menjaring gol keduanya pada minit kelapan.
Perak bagaimanapun merapatkan jurang apabila Nana Poku merembat masuk selepas mendapat lorongan Sergio Aguero pada minit ke-16.
Namun Casagrande mengembalikan kelebihn pelawat apabila menanduk kencang melepasi Hafizul pada minit ke-20 diikuiti sentuhan Rafael tujuh minit kemudian.
Nana Poku memberi sedikit harapan buat tuan rumah apabila merapatkan kedudukan melalui penalti pada minit ke-35 untuk menjadikan kedudukan 4-2 pada babak pertama.
Babak kedua menyaksikan anak buah Sharil Nizam Khalil berusaha gigih dan berjaya merapatkan jurang melalui penalti Poku pada minit ke-53.
Namun dalam kesibukan Perak mencari gol tambahan, Abdul Azim Rahim menguburkan impian mereka untuk bangkit pada minit ke-88 untuk melengkap kemenangan pelawat. – UTUSAN