LONDON: Berita Cristiano Ronaldo sudah bersetuju dengan terma perjanjian yang ditawarkan Manchester City nyata tidak menggembirakan penyokong Manchester United.
Bintang Portugal berusia 36 tahun itu dilaporkan sudah bercakap dengan pengurus City, Pep Guardiola yang akan membawa kepada perpindahan sensasi ke Etihad.
City dikatakan bakal memulakan rundingan dengan Juventus mengenai masa depan pemenang Ballon d’Or lima kali itu.
Pada ketika penyokong City amat gembira dengan berita tersebut, peminat United sebaliknya terkejut, marah dan menganggap ia sebagai satu ‘pengkhianatan’.
Ronaldo memulakan karier profesional di Sporting Lisbon, namun dia berkembang menjadi pemain kelas dunia ketika menyarung jersi United.
Sir Alex Ferguson yang melihat potensi Ronaldo membeli pemain yang ketika itu langsung tidak dikenali pada harga 12.24 juta pound pada 2003.
Sepanjang enam tahun di Old Trafford, dia berjaya membawa Red Devils merangkul tiga trofi Liga Perdana Inggeris dam satu piala Liga Juara-Juara.
Terkenal dengan julukan CR7, Ronaldo menyertai Real Madrid pada 2009 menerusi perpindahan 80 juta pound.
Peminat United sentiasa percaya Ronaldo akan pulang ke Manchester satu hari nanti, namun mereka tidak pernah terfikir dia akan menuju ke City.
Kecewa dengan berita tersebut, mereka menggunakan media sosial untuk meluahkan kemarahan.
“Kalau Ronaldo benar-benar memilih Manchester City, tiada kata-kata yang menggambarkan kekecewaan saya,” tulis seorang peminat di Twitter.
“Ronaldo ke City ibarat satu tumbukan yang hebat. Situasinya sama seperti (Michael) Owen datang dari Liverpool ke United,” tulis seorang lagi peminat.
Beberapa penyokong yang terlalu kecewa mahu membakar jersi pemain itu jika dia benar-benar menyertai City.