PETALING JAYA: Kejuaraan motosikal dunia tanpa pelumba Malaysia?
Itulah perkara paling membimbangkan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang turut kecewa dengan pembatalan Grand Prix (GP) Malaysia akibat pandemik Covid-19.
Hafizh, 27, juga terkilan kerana tidak sempat memperagakan jentera baharunya kepada peminat motosikal tempatan selepas perlumbaan yang sepatutnya berlangsung 24 Oktober dibatalkan.
“Bagi saya ketiadaan saingan MotoGP di Sepang sangat mengecewakan sebab saya tak pernah berlumba dalam Moto2 menggunakan enjin Triumph di sana.
“Kali terakhir saya berlumba di sana pada 2019, masa itu saya mewakili pasukan KTM dalam saingan MotoGP.
“Saya pun tak tahu masa depan saya macam mana. Kalau saya tiada masa hadapan, mungkin belum pasti ada pelumba Malaysia tahun hadapan agak sukar,” katanya menerusi perkongsian video kepada pemberita kelmarin.
GP Malaysia yang sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang terpaksa dibatalkan susulan Covid-19 selain sekatan kemasukan ke negara ini.
Dalam pada itu, Hafizh berkata, impian peminat Malaysia untuk menyaksikan penampilan terakhir legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi di Sepang sebelum bersara juga tidak kesampaian.
“Ramai peminat yang masih menyokong Valentino Rossi dan nak tengok dia berlumba di Sepang buat kali terakhir.
“Apa yang boleh saya cakap, harap semua orang kekal selamat dan teruskan menyokong. Saya harap ada rezeki berjumpa tahun depan,” ujar pelumba kelahiran Ampang itu.
Katanya kurang menarik apabila bersaing berulang kali di Eropah ekoran ketiadaan perlumbaan di Asia seperti Jepun, Australia dan Malaysia.