PETALING JAYA: Perenang negara, Nur Syaiful Zulkafli memulakan kempen Sukan Paralimpik 2020 yang mengecewakan apabila tidak melepasi peringkat saringan renang S5 gaya bebas 200 meter (m) lelaki di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.
Penyertaan Nur Syaiful dalam saringan 1 dibatalkan selepas melakukan kesilapan teknikal kerana meletakkan pita pelekat di bahagian bahunya yang terdapat bisul.
Situasi itu nyata mengecewakan Nur Syaiful, apatah lagi ia bukan kesalahan yang berpunca daripada pihaknya.
“Sebelum pertandingan saya sudah berjumpa pegawai bertugas mengenai masalah saya. Mereka tidak beri jawapan yang pasti. Mereka kata saya boleh tampak tape (pelekat) atau tanggalkannya.
“Sehari sebelum pertandingan juga saya sudah berjumpa pegawai yang bertugas, jawapannya tetap sama. Mereka juga beri jawapan 50-50, boleh letak atau tanggalkan.
“Jadi bila tiada jawapan pasti, saya pilih untuk tampal pelekat bagi mengurangkan rasa sakit di bisul berkenaan sudahpun bernanah,” katanya.
Kata Nur Syaiful, dia mahu menebus kekecewaan apabila turun dalam acara 100m gaya bebas esok, selain masih mempunyai dua lagi saingan untuk disertai 50m (gaya bebas) dan 100m kuak dada.
Nur Syaiful mengesahkan tempat ke Paralimpik Tokyo 2020 selepas meraih pingat gangsa 50m gaya bebas (S5) pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di London.
Empat perenang, Antoni Ponce Bertran dari Sepanyol, Daneil de Faria Dias (Brazil), Dmitrii Cherniaev (Rusia) dan Sebastian Rodriguez (Sepanyol) meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya.