TOKYO: Juara Olimpik Jamaica, Hansle Parchment menjejaki semula wanita yang telah membantu membayarkan tambang teksi untuk menyelamatkan impiannya memenangi pingat emas di Tokyo 2020.
Parchment berjaya memenangi pingat emas 110 meter lari berpagar, namun dia hampir terlepas perlumbaan separuh akhir kerana menaiki bas yang salah di mana dia turun ke venue mendayung.
Dalam video ringkas di Instagram, Parchment menjelaskan, dia hampir berputus asa selepas menyedari tersalah venue, malah mempunyai masa yang suntuk untuk mengejar ke gelanggang olahraga di Stadium Olimpik.
“Saya ternampak seorang sukarelawan dan merayu kepadanya. Sudah tentu dia tidak dibenarkan melakukan banyak perkara tapi dia memberi saya sejumlah wang untuk mengambil teksi.
“Begitulah bagaimana saya sempat sampai ke trek latihan di stadium. Cukup masa untuk memanaskan badan dan bertanding. Ia amat mengagumkan,” kata Parchment.
Selepas kemenangannya, Parchment mencari semula sukarelawan bernama Trijana itu pada hujung minggu untuk membayar tambang teksi, menunjukkan pingat yang dimenangi dan menghadiahkannya baju Jamaica.
“Kamu memainkan peranan penting membantu saya masuk ke final tempoh hari,” kata Parchment kepada gadis itu sambil menunjukkan pingat emas yang dimenangi.
“Betulkah, kamu menang ini,” balas Trijana.
Menurut laporan The Gleaner, kerajaan Jamaica menerusi Kementerian Pelancongan menjemput wanita itu untuk bercuti di negara tersebut.
“Jika dia tidak mementingkan diri, kita tidak tahu apa akan berlaku. Tidak kira di mana dia berada sekarang, kami mahu membalas kebaikannya terhadap atlet kami,” kata jurucakap Kementerian Pelancongan, Edmund Bartlett.
Parchment, 31, memenangi pingat emas 110m lari berpagar selepas mencatat masa 13.04 saat, menewaskan pelari Amerika Syarikat, Grant Holloway dengan perak. Seorang lagi atlet Jamaica, Ronald Levy meraih gangsa. – AGENSI