PETALING JAYA: Peluang Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter(m) platform individu wanita untuk meraih pingat dilihat cerah tetapi semua bergantung kepada prestasi mereka ketika hari pertandingan.
Kedua-dua penerjun ini adalah pemenang pingat perak Sukan Olimpik di Rio 2016 dalam acara seirama namun kali ini, mereka akan bersaing sesama sendiri untuk meraih kedudukan terbaik dalam acara individu yang berlangsung, esok.
Jika Jun Hoong, 31, memegang reputasi sebagai juara dunia 2017 di Budapest, Pandelela pula adalah juara Piala Dunia 2021 di Tokyo, selain pemenang pingat gangsa di London 2012.
Bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas percaya, peluang untuk penerjun negara meraih pingat dalam acara tersebut di Olimpik Tokyo tetap ada.
“Peluang itu ada tapi lihat sama ada Lela dan Jun Hoong boleh menunjukkan prestasi terbaik semasa pertandingan. Sebab kita tahu baru-baru ini Lela juara Piala Dunia.
“Kedua-dua ada kebolehan masing-masing dan bagi saya emas susah sikit tetapi untuk bersaing perak dan gangsa ada peluang kalau buat bagus.
“Tekanan memang berbeza sebab masa Piala Dunia Mei lalu ada beberapa penerjun utama tidak sertai termasuk China dan kali ini (Olimpik) semua penerjun terbaik ada.
“Dari segi mental, semua nak buat yang terbaik, kadang-kadang perkara yang tidak dijangka boleh terjadi pada hari pertandingan,” kata pembawa Jalur Gemilang Olimpik 2014 itu kepada Utusan Malaysia.
Esok, 30 penerjun akan beraksi di pusingan kelayakan dengan 18 penerjun terbaik akan layak ke separuh akhir disusuli 12 terbaik bertanding di final.
Bryan juga mengakui keputusan yang diperolehi Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3m papan anjal membakar semangat Pandelela dan Jun Hoong.
“Mungkin daripada keputusan ditunjukkan Bitah boleh menjadi pembakar semangat buat mereka tetapi kita tahu dua-dua penerjun ini merupakan atlet senior dan mereka mampu untuk mengawal tekanan dari segi mental dengan baik,” jelasnya.